Dunia

May 06, 2011

Dunia diibaratkan sebagai seorang perempuan tua yang memakai perhiasan yang berkilau-kilauan dan pakaian yang anggun menawan. Tetapi hakikatnya, apabila tirai kebenaran diangkat, Dunia adalah seorang perempuan tua yang hodoh, kerepot, berkedut, dan mempunyai sepasang mata biru menyala, yang cengkung dan terperosok di dalam tengkorak, seperti suatu mayat hidup. 

Dinyatakan di dalam sebuah kitab bahawa seorang sahabat Nabi S.A.W. telah bermimpi melihat Dunia, dalam keadaan seorang perempuan tua yang sangat hodoh, yang memakai pakaian serta perhiasan pengantin yang sungguh menawan. Di sekelilingnya terdapat pelbagai jenis manusia yang memandangnya dengan penuh keghairahan. Sahabat tersebut merasa pelik dengan perihal keadaan tersebut lalu beliau bertanya, "Siapakah kamu? Aku tidak pernah melihat kamu". Jawab perempuan tua itu, "Apakah kamu tidak mengenali aku? Aku adalah Dunia". Lalu sahabat itu bertanya lagi, "Dengan siapakah kamu berkahwin?". Jawab Dunia, "Aku berkahwin dengan lelaki-lelaki (manusia-manusia) yang memuja aku". 

Sahabat itu tidak berpuas hati lalu bertanya lagi, "Di manakah suami-suami kamu itu?". Jawab Dunia, "Mereka berada di sekelilingku ini. Tetapi ramai yang sudah mati". Sahabat bertanya lagi, "Bagaimanakah mereka mati?". Jawab Dunia, "Aku telah membunuh mereka, disebabkan kealpaan mereka, perangai mereka yang berbunuh-bunuhan, berhasad dengki, dan tamak haloba antara satu sama lain, kerana berebutkan aku".

Maka di akhirat nanti, Dunia akan dijelmakan sebagai seorang wanita tua, di hadapan seluruh manusia, oleh Allah S.W.T. Lalu, dia akan dihumbankan ke dalam api neraka. Maka Dunia menjerit, "Jangan biarkan aku keseorangan. Masukkan aku ke dalam neraka bersama-sama para pengikutku".

Sama-samalah kita muhasabah diri, bahawa dunia ini adalah alam yang fana (tidak kekal). Yang kekal hanyalah akhirat yang sedang menanti kita di sana. Amat malanglah nasib bagi sesiapa yang tertipu dengan muslihat dunia ini. Wallahu'alam bissawabb.

You Might Also Like

0 Comments

Speak now or forever hold your peace.

Instagram