Tukang Kapak dan Mungkar Nangkir

May 19, 2011

Al-kisahnya, seorang jutawan telah menulis satu wasiat "barang siapa yang dapat menjaganya di dalam kubur setelah beliau mati nanti, akan dapat mewarisi separuh daripada harta peninggalannya itu". Lalu ditanya pada semua anak-anaknya, adakah mereka sanggup menjaganya di dalam kubur nanti. Lantas jawab anak-anaknya, "Mana mungkin kami sanggup menjaga mu, wahai ayah, kerana pada masa itu ayah sudah pun menjadi mayat".
 
Selang keesokan hari, dipanggil semua adik-beradiknya lalu beliau berkata: "Wahai adik-adikku sekalian. Sanggupkah kamu menjaga akan daku setelah aku mati nanti, dan tinggal bersama-samaku selama 40 hari di dalam kubur yang akan ku hias indah seperti banglo mewah ini, dan aku juga akan memberi setengah daripada harta ku kepada antara kamu yang sanggup bersamaku?". Adik-adiknya pun menjawab, "Wahai abang ku, adakah engkau sudah gila? Mana mungkin seorang manusia sanggup tinggal bersama-sama mayat selama itu di atas bumi? Inikan pula di dalam tanah".

Lalu dengan perasaan sedih, jutawan tersebut membawa diri ke kamarnya. Namun, beliau masih bertegas dengan hajatnya yang ingin ditemani di dalam kubur nanti apabila beliau sudah mati nanti. Jadi, dipanggil setiausahanya supaya diwar-warkan di dalam akhbar dan media akan wasiatnya itu.

Dan akhirnya, sampai jugalah hari di mana jutawan tersebut kembali ke rahmatullah. Kuburnya dihias indah dan digali seperti sebuah banglo di dalam tanah yang mempunyai kemudahan harian selama 40 hari. Dan pada waktu yang sama, seorang tukang kapak yang sangat miskin telah mendengar akan wasiat tersebut, lalu diberitahu kepada isterinya apakah dia perlu mengambil kesempatan ini untuk menjadi kaya.

Isterinya berkata, "Wahai suamiku, apalah sangat menjaga mayat tersebut selama 40 hari jika dibandingkan kerja-kerja mu di dalam hutan sana bertemu harimau dan hantu bajang ketika menebang kayu. Lagi pun makanan disediakan di dalam kubur itu nanti". Maka, tukang kayu tersebut dengan tergesa-gesa pergi ke rumah jutawan tersebut untuk memaklumkan kepada waris jutawan tersebut akan niatnya. Pada keesokan harinya, dikebumikanlah jenazah jutawan tersebut walaupun mendapat bantahan daripada orang-orang yang tahu akan agama. Si tukang kapak tersebut pun turut ikut sekali turun ke dalam tanah bersama kapaknya.

Setelah tujuh langkah para hadirin meninggalkan tanah perkuburan, maka datanglah malaikat Mungkar dan Nangkir ke dalam kubur tersebut. Si tukang kapak yang tahu sedikit mengenai perihal agama menyedari akan siapa yang hadir, lalu dia pun menjauhkan dirinya daripada mayat jutawan tersebut. Terfikir difikirannya bahawa sudah tiba masanya jutawan tersebut akan disoal-siasat oleh Mungkar dan Nangkir.

Tetapi sebaliknya yang berlaku. Mungkar dan Nangkir menuju ke arahnya, lalu mereka bertanya, "Apa yang engkau buat di sini?". Jawab tukang kayu itu, "Aku menjaga mayat tersebut selama 40 hari untuk mendapatkan setengah daripada harta wasiatnya". Tanya Mungkar dan Nangkir lagi, "Apa harta yang engkau ada sekarang?". "Aku cuma ada sebatang kapak ini sahaja untuk mencari rezeki", jawab tukang kayu tersebut. "Dari mana engkau mendapat kapak ni?", tanya Mungkar dan Nangkir. "Aku membelinya", jawab si tukang kayu.

Lalu hilanglah Mungkar dan Nangkir pada hari pertama si tukang kayu berada di dalam kubur tersebut. Hari kedua ditanya pula oleh Mungkar dan Nangkir kepada si tukang kayu, "Apa yang engkau buat dengan kapak ni?". Jawab si tukang kayu, "Aku menebang pokok untuk dijadikan kayu api untuk dijual". Hari ketiga si tukang kayu ditanya lagi oleh Mungkar dan Nangkir tentang kapak tersebut, "Pokok siapa yang engkau tebang dengan kapak ni?". "Pokok di hutan bukanlah kepunyaan sesiapa", jawab si tukang kayu. "Adakah engkau pasti?", tanya Mungkar dan Nangkir. Lalu hilang lagi Mungkar dan Nangkir. Pada hari ke-empat, Mungkar dan Nangkir terus bersoal-jawab dengan si tukang kayu, "Adakah engkau memotong pokok-pokok tersebut dengan kapak ini ukurannya dan beratnya sama untuk dijual?". "Tidak, aku potong cincai-cincai sahaja. Tidak mungkin boleh diukur kayu tersebut secara sama rata", jawab si tukang kayu. Lalu hilang dan muncul Mungkar dan Nangkir tersebut selama 39 hari dan soalannya tetap sama, berkisarkan tentang kapak si tukang kayu tersebut.

Pada hari terakhir, iaitu pada hari ke-40, datanglah Mungkar dan Nangkir sekali lagi bertemu dengan tukang kapak tersebut. Berkata Mungkar dan Nangkir, "Hari ini adalah hari terakhir aku bersamamu buat seketika, tetapi aku akan bertanya tentang kapak ini". Belum sempat Mungkar dan Nangkir menyoalnya, si tukang kapak tersebut telah melarikan diri ke atas dan membuka pintu kubur tersebut, lalu diperhatikannya begitu ramai sekali orang yang sudah lama menantikan kehadirannya untuk keluar daripada kubur tersebut.

Si tukang kapak tersebut dengan tergesa-gesa keluar dan meninggalkan mereka semua sambil berkata, "Ambillah kamu semua harta tersebut dan aku tidak menginginkannya lagi". Sesampainya di rumah, isterinya bertanya, "Wahai suamiku, di manakah setengah harta peninggalan jutawan tersebut?". Maka jawab si tukang kapak, "Aku tidak mahukannya lagi. Sedangkan harta aku yang ada di dunia ini hanyalah sebilah kapak. Tetapi apa yang disoal oleh Mungkar dan Nangkir selama 40 hari semuanya hanya tentang kapak ini sahaja. Apakah yang akan terjadi sekiranya harta aku begitu banyak? Bagaimanakah dapat aku menjawab soalan-soalan mereka?".

Ayuh, renovate! Renew hati kita!

You Might Also Like

0 Comments

Speak now or forever hold your peace.

Popular Posts

Like us on Facebook

Flickr Images

Subscribe