Perut Buncit Jadi Faktor Nyanyuk

February 04, 2011

CHICAGO: Memiliki perut buncit pada pertengahan usia meningkatkan risiko tiga kali ganda menghidap masalah nyanyuk.

“Memandangkan 50 peratus daripada orang dewasa dalam negara ini mengalami masalah obesiti, ia memang hasil kajian yang membimbangkan”, kata penulis kajian, Rachel Whitmer, dari Bahagian Penyelidikan Tetap Kaiser di Oakland, California.

Mengalami pertambahan berat badan berlebihan pada pertengahan usia dan ke atas sudah lama turut dikaitkan dengan peningkatan risiko bagi penyakit lain termasuk angin ahmar, diabetes, dan penyakit jantung.

Ini adalah kajian pertama yang mengaitkan lebihan lemak dalam badan dengan masalah nyanyuk, dan menariknya, lebihan lemak di perut meningkatkan risiko di kalangan mereka yang memiliki berat badan normal secara keseluruhan.

Penyelidikan mengukur lemak perut melibatkan 6583 responden yang berusia 40 hingga 45 tahun di utara California dan kira-kira 36 tahun kemudian, 16 peratus daripada mereka didapati menghidap nyanyuk, menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Neurology.

Mereka yang mempunyai berat badan berlebihan atau obese tetapi tidak memiliki perut buncit berisiko 80 peratus mengalami nyanyuk berbanding orang yang mempunyai berat badan dan paras lemak perut normal.

Risiko mengalami nyanyuk melonjak kepada 230 peratus dalam kalangan individu yang mempunyai berat badan berlebihan termasuk berperut buncit dan meningkat kepada 360 peratus dalam kalangan orang obese yang juga memiliki perut buncit.

“Bagaimana seseorang itu membawa berat badannya, terutama pada pertengahan usia, menjadi peramal penting bagi risiko nyanyuk”, kata Whitmer.

Ketika lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk memahami mengapa kaitan ini wujud, tidak mustahil masalah obesiti di bahagian perut adalah sebahagian daripada permasalahan tingkah laku berkaitan aspek kesihatan yang meningkatkan risiko nyanyuk.

“Bedah siasat menunjukkan perubahan dalam otak dikaitkan dengan penyakit Alzheimer mungkin bermula pada awal hingga pertengahan dewasa, dan satu kajian lain menunjukkan lemak tinggi pada perut dalam kalangan orang dewasa dikaitkan dengan masalah otak yang besar.

“Hasil kajian itu menunjukkan kesan bahaya obesiti di perut terhadap otak mungkin bermula lama sebelum petanda nyanyuk muncul”, katanya.

Sementara itu, akhbar The Telegraph melaporkan,  bilangan orang nyanyuk di Britain akan meningkat kepada 1.2 juta pada tahun 2028.

Penyakit nyanyuk menyebabkan seseorang hilang ingatan dan keupayaan percakapan. - Agensi

You Might Also Like

0 Comments

Speak now or forever hold your peace.

Popular Posts

Like us on Facebook

Flickr Images

Subscribe