Perbualan Nabi Muhammad S.A.W. dengan Iblis

February 15, 2011

Soalan Nabi Muhammad S.A.W.: "Siapa yang mencahayakan muka engkau?"
Jawab Iblis Laknatullah: "Orang yang berdosa, bersumpah bohong, saksi palsu, pemungkir janji".   


Soalan Nabi Muhammad S.A.W.: "Apakah rahsia engkau kepada umatku?"
Jawab Iblis Laknatullah: "Jika seorang Islam pergi buang air besar serta tidak membaca doa pelindung syaitan, maka hamba gosok-gosokkan najisnya sendiri ke badannya tanpa dia sedari". 
 

Soalan Nabi Muhammad S.A.W.: "Jika umatku bersatu dengan isterinya, bagaimana hal engkau?"
Jawab Iblis Laknatullah: "Jika umat Tuan hendak bersetubuh dengan isterinya serta membaca doa pelindung syaitan, maka larilah hamba daripada mereka. Jika tidak, hamba akan bersetubuh dahulu dengan isterinya, dan bercampurlah benih hamba dengan benih isterinya. Jika menjadi anak maka anak itu akan gemar kepada pekerjaan maksiat, malas pada kebaikan, dan juga durhaka. Ini semua kerana kealpaan ibu bapanya sendiri. Begitu juga jika mereka makan tanpa membaca Bismillah, hamba yang dahulu makan daripadanya. Walaupun mereka makan, tiadalah rasa kenyang".
 

Soalan Nabi Muhammad S.A.W.: "Dengan jalan apa boleh menolak tipu daya engkau?"
Jawab Iblis Laknatullah: "Jika dia berbuat dosa, maka dia kembali bertaubat kepada Allah, menangis kesal akan perbuatannya. Apabila marah segeralah mengambil air sembahyang, maka padamlah marahnya".
 

Soalan Nabi Muhammad S.A.W.: "Siapakah orang yang paling engkau lebih suka?"
Jawab Iblis Laknatullah: "Lelaki dan perempuan yang tidak mencukur atau mencabut bulu ketiak atau bulu ari-ari (bulu kemaluan) selama 40 hari. Di situlah hamba mengecilkan diri, bersarang, bergantung, dan berbuai seperti pijat pada bulu itu".
 

Soalan Nabi Muhammad S.A.W.: "Hai Iblis! Siapa pula yang bersekutu dan bersekedudukan dengan engkau?"
Jawab Iblis Laknatullah: "Iaitu apabila bertemu lelaki dengan perempuan muda, maka hamba duduk pada leher perempuan-perempuan muda itu, hamba hiaskan mukanya dengan jelingan dan senyuman yang menarik hati. Apabila dipandang belakangnya maka terpandang lehernya yang halus dengan pinggang dan punggung yang bergerak-gerak yang membangkitkan nafsu. Manakala di pandang depannya, hamba hiaskan dadanya dengan bergerak-gerak kedua kuntum yang melekat pada dadanya, lalu hamba panah pada jantung hati keduanya atau salah satu daripadanya hingga bergerak-gerak keinginan nafsu syahwatnya. Apabila orang tersebut tidak memelihara hatinya, nescaya tidak terpeliharalah farajnya (kemaluannya). Sesiapa yang tidak memelihara kemaluannya nescaya tiadalah terpelihara imannya".
 

Soalan Nabi Muhammad S.A.W.: "Hai Iblis! Di manakah tempat engkau diam?"
Jawab Iblis Laknatullah: "Iaitu pada rumah-rumah berhala dan pada batu, kayu dan sebagainya. Apabila mereka menyembah selain daripada Allah, maka hamba cenderungkan hati mereka supaya bertambah yakin pada perbuatan yang syirik. Berapa ramai umat tuan yang telah hamba pesongkan masuk ke rumah berhala Majusi dan Hindu itu menunjukkan betapa nipisnya iman mereka".
 

Soalan Nabi Muhammad S.A.W.: "Hai Iblis! Siapakah yang menyokong engkau?"
Jawab Iblis Laknatullah: "Iaitu orang yang tidak bertaubat dan suka ketawa ketika berbuat dosa itu. Ya Nabi Allah! Sesungguhnya telah hamba binasakan sekalian manusia dengan mengerjakan dosa daripada pelbagai maksiat, maka betapa sukanya hamba, tiba-tiba mereka itu mengucap La Ilaha Illa Allah dan istighfar maka binasalah hamba dengan sebab ucapannya itu. Lagi satu, keuntungan yang besar kepada hamba ialah orang tua dan kanak-kanak yang bersiul itulah anak buah hamba, kerana pada masa hamba dibuang ke dunia hamba mengembara dengan bersiul-siul dan orang yang bersiul itu penghibur Iblis Syaitan".
 

Soalan Nabi Muhammad S.A.W.: "Hai Iblis! Sekarang apakah kesudahan ikhtiar Engkau ke atas umatku, kerana Aku telah dibangkitkan ke dunia ini bagi menyelamatkan sekalian Bani Adam daripada kafir kepada iman, daripada gelap-gelita kepada terang-benderang?"
Jawab Iblis Laknatullah: "Maka Iblis pun mengangkatkan kepalanya ke hadrat Allah sambil berkata: "Ya Rabbi, demi kemuliaan Engkau, sentiasalah hamba akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menarik sekalian Anak Adam kepada berbagai-bagai jalan maksiat. Selama ada nyawa di dalam batang tubuh mereka itu, hamba jadikan pemuda-pemudi bercampur dan berkenalan supaya senanglah hamba mencelah di dalamnya". 


Maka firman Allah S.W.T.: 
"Hai Malaun [yang dilaknat (Iblis)]! Demi kebesaran Ku dan ketinggian Ku! Bahawa Aku sentiasa sedia mengampuni dosa umat Muhammad selagi mereka itu meminta ampun kepada Ku".

Maka kata Iblis Laknatullah: "Ya Rasulullah! Bahawasanya hamba sangat hairan melihat dua macam hal sekalian hamba Allah.
  1. Mereka itu mengaku kasih kepada Allah padahal mereka itu taat kepada hamba dengan berbuat maksiat.
  2. Mereka sangat marah kepada hamba tetapi mereka itu mengikut hasutan hamba. 
Maka datanglah firman Allah S.W.T.: "Hai Malaun! Demi kemuliaanKu dan kebesaranKu, Aku anugerahkan ke atas umat Muhammad dua kebahagiaan;
  1. Kasih mereka kepadaKu, Aku jadikan kaffah (penebus dosa) bagi maksiat mereka kerana perdayaanmu terhadap mereka. 
  2. Marah mereka kepada engkau (Iblis) Aku jadikan kaffah (penebus dosa) bagi maksiat mereka kepadaKu.
Setelah itu Rasulullah S.A.W. pun menghalau Iblis. Iblis pergi dengan hati yang sangat dukacita kerana tipu dayanya telah diketahui oleh umat Nabi Muhammad S.A.W.

Semoga kita sentiasa menginsafi segala tipu daya iblis ini dan diharap dapat menyampaikannya kepada seluruh umat Islam dari semasa ke semasa.

Rasulullah S.A.W. bersabda, "Sampaikan dari Ku walau pun sepotong ayat".

You Might Also Like

0 Comments

Speak now or forever hold your peace.

Popular Posts

Like us on Facebook

Flickr Images

Subscribe